KITA TERTIPU LAGI??????
Rumusannya, Melayu tertipu lagi oleh Anwar Ibrahim melalui pakatan ‘MAKA’ – Mohamad Ezam. Anwar Ibrahim. Khairy Jamaludin. Abdullah Badawi.
..........................
Dalam satu wacana bersama beberapa rakan termasuk mereka yang pernah rapat dengan Mohamad Ezam Mohd Nor, Anwar Ibrahim dan Muhyiddin Yassin semalam kami membuat rumusan – Anwar berjaya persendakan PAS dan DAP.
YB Karpal Singh mendakwa bahawa beliau tidak yakin lagi dengan kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa akan berlaku lompatan wakil rakyat BN ke Pakatan Rakyat.
Kenyataan YB Karpal ini dibuat setelah lebih 2 minggu pucuk pimpinan DAP memboikot beberapa perbincangan bersama KeADILan dan PAS.
DAP difahamkan telah agak hampa dengan tindak-tanduk Penasihat Parti KeADILan, Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak kebelakangan ini yang nampaknya tidak bersungguh-sungguh dalam usaha merampas pentadbiran kerajaan daripada Barisan Nasional.
Keraguan dan kebimbingan dua parti gabungan Pakatan Rakyat, DAP dan PAS semakin menjadi-jadi apabila Datuk Seri Anwar dilihat seolah-olah merestui kembalinya Ezam Mohd Nor kepada UMNO.
Seorang sahabat yang juga bekas setiausaha kepada Tan Sri Muhyidddin Yassin membaca sifir politik kembalinya Ezam kepada UMNO sebagai merintis jalan pintas kearah kemasukkan Anwar semula ke dalam UMNO sebelum September 2008 atau selewat-lewatnya selepas Perhimpunan Agung UMNO akhir tahun ini.
Anwar, menurut seorang lagi sahabat yang rapat dengan Ezam Mohd Nor, telahpun merintis sendiri jalan awal untuk beliau kembali kepada UMNO dengan membantu Abdullah Badawi dan sekutunya, termasuk menantunya Khairy dalam beberapa agenda politik antarabangsa yang berkait dengan negara jiran di sebelah Selatan Semenanjung.
Bekas orang kuat Anwar yang bersama kami dalam wacana semalam mendakwa bahawa, sejak dibebaskan daripada penjara pada 2004, Anwar hanya berusaha kearah dua matlamat utama: menyingkirkan Tun Mahathir daripada UMNO dan melemahkan UMNO.
Jelas sekali kedua-dua matlamat Anwar telah tercapai. Mahathir telah keluar daripada UMNO setelah tidak lagi dapat duduk berbincang sebagai kawan dengan Abdullah Badawi.
Manakala UMNO setelah segala usaha oleh para pencinta keamanan dan kedamaian negara dilakukan dalam pilihanraya umum ke-12 lalu, ia benar-benar telah menjadi lemah, lesu dan hampir mati. Saat lumpuhnya UMNO seperti ini yang diimpikan oleh Anwar.
Anwar bukan berhasrat untuk mematikan UMNO, ia hanya perlu melemahkan UMNO sebagai jalan mudah beliau kembali semula kepangkuan UMNO.
Sebagaimana kenyataan Ezam Mohd Nor dalam wawancaranya dengan MalaysiaKini, "Apabila Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo tidak boleh komit yang itu, kita back out. Dia kata you masuk (Umno) dulu dan (kemudian) bincang tentang Anwar. Tapi you kena masuk dulu, you kena bertanding... saya kata no,no, kita tolak kerana tidak minat dengan apa yang kami akan dapat. Fokus kita adalah jelas.
Lepas itu berjumpa dengan Datuk Aziz Samsuddin, bersama dengan sebelas atau dua belas kawan-kawan, Ruslan Kassim dan teman-teman lain. Begitu juga. Dia cakap-cakap, akhirnya dia minta kita masuk (Umno) tapi saya kata apa pun sama juga, mesti bebaskan Datuk Seri Anwar. Jadi (bila) dia tidak boleh komit, saya keluar. Saya tamatkan di situ.
Selepas saya tamatkan, kawan-kawan teruskan dan sebab tu mereka masuk (umno) sebelum pilihanraya. Bagi saya itu keputusan masing-masing dan saya faham ketika itu mereka sudah dalam keadaan susah, tertekan dan sebagainya, masalah kewangan, peribadi dan sebagainya. Mungkin mereka perlukan wang dan saya tidak dapat halang sebab saya pun dalam keadaan yang tidak senang. Kita dah berjuang lama, ini saya faham.
Sebab itu saya masih berkawan dengan mereka hingga hari ini. Bagi saya itu bukanlan an act of betrayal (berpaling tadah) walaupun saya tidak bersama (mereka) sebab saya punyai bottom line iaitu bebaskan Datuk Seri Anwar. Selain dari itu, saya tidak akan terima".
Kalau dulu beberapa orang kuat KeADILan menyertai UMNO untuk merintis jalan dalam usaha membebaskan Anwar, kali ini penyertaan Mohamad Ezam adalah sebagai menyambung gagasan seterusnya iaitu mengembalikan Anwar Ibrahim semula ke dalam UMNO.
Kelicikkan Anwar Ibrahim ini sebenar telah terhidu dalam kesemaran apabila beliau tidak secara terbuka dan bersemangat untuk menumbangkan kepimpinan Abdullah Badawi, sebaliknya Anwar lebih berminat dan bersungguh-sungguh menjahanamkan reputasi Datuk Seri Najib.
Jelas sekarang matlamat Anwar menerjah Najib dan orang-orang Najib, serta Mahathir Mohamad bertubi-tubi dengan harapan, Abdullah akan rasa tertekan dari dalam kelompok UMNO itu sendiri.
Sekarang adalah masa untuk Anwar memainkan pita rakaman yang pernah dimainkan oleh UMNO- Ketuanan Melayu.
Kalau sebelum dan semasa pilihanraya umum ke-12 lalu slogan Ketuanan Rakyat yang bermain dibibir Anwar demi meraih sokongan rakyat tanpa batasan bangsa, kali ini ‘Ketuanan Melayu’ adalah modal yang bakal ulangmain oleh Anwar demi meluruskan jalan untuk beliau kembali kepada UMNO.
Bau yang dibawa Ezam ke dalam UMNO adalah bau Anwar. Melalui Ezam, UMNO akan diwayangkan dengan segala kepincangan tanpa kehadiran Anwar. Ezam akan bersandiwara lagi, sepertimana sandiwara 6 kotok rahsia dan sandiwara GERAKnya.
Kali ini drama yang bakal dimainkan Ezam ialah Melayu perlu bersatu, bersatu bersama UMNO. Panji-panji dan pencacai-pencacai awal yang telah diseludup masuk ke dalam UMNO oleh Anwar Ibrahim akan memainkan peranan mereka untuk melumpuhkan sama sekali pengaruh Najib, Muhyiddin, Hishamuddin, Mahathir, Khir Toyo dan sekutu mereka.
Sebaliknya Ezam akan menggerakkan semula pengaruh Anwar Ibrahim dan Khairy Jamaludin melalui dana khas yang disediakan oleh penguasa durjana, Abdullah Badawi.
Rumusannya, Melayu tertipu lagi oleh Anwar Ibrahim melalui pakatan ‘MAKA’ – Mohamad Ezam. Anwar Ibrahim. Khairy Jamaludin. Abdullah Badawi.
Wednesday, June 4, 2008
Subscribe to:
Posts (Atom)
